Kediaman di Casa [email protected] yang bakal siap pada tahun 2018 itu merupakan sumbangan kerajaan negeri atas kemenangannya bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama wanita di Rio.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia ne­geri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, selain mendapat ganjaran rumah, atlet berusia 26 tahun itu juga menerima habuan wang tunai sebanyak RM15,000.

Katanya, ganjaran wang tunai itu diberikan menerusi Skim Insentif Kemenangan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

“Kejayaan Jun Hoong ini diharap akan menjadi inspirasi kepada semua atlet di negeri ini. Jika Jun Hoong boleh, mereka juga pasti boleh lakukan sekiranya berusaha keras.

“Diharap Jun Hoong akan menjadi ikon kepada semua atlet dan bakal atlet untuk mereka mencapai kecemerlangan dan kemenangan di pentas dunia,” katanya selepas majis pemberian insentif tersebut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Jun Hoong muncul sebagai anak Perak kedua yang melakar kejayaan di pentas Olimpik selepas pemain badminton beregu lelaki Cheah Soon Kit merangkul pingat perak di Atlanta, Amerika Syarikat pada 1996.

Sementara itu, Jun Hoong berkata, ganjaran tersebut amat istimewa dan menjadi motivasi kepadanya untuk melakar kejayaan lebih baik pada masa hadapan.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir atas ganjaran ini. Saya tidak sangka akan mendapat hadiah seperti ini,” katanya.

Mengenai kemungkinan terdapat maklum balas negatif yang diterima di laman sosial berhubung ganjaran tersebut, Jun Hoong berkata, dia tidak mahu mengambil serius berhubung perkara itu.