Meskipun China tidak bertan­ding pada Sukan Komanwel, Jun Hoong yang turun pada 12 April ini dalam acara 10 meter (m) platform wanita di Pusat Akuatik Optus mendapat tentangan hebat daripada penerjun tuan rumah, Australia dan Kanada.

Jun Hoong berkata, setiap kejohanan yang disertai adalah permulaan baharu bagi dirinya selain menyifatkan setiap venue menyajikan cabaran berbeza buat semua penerjun yang mengambil bahagian.

“Juara dunia sudah berlalu dan tidak bermakna selepas dinobatkan gelaran itu, saya akan sentiasa menjadi juara dalam setiap kejohanan. Setiap pertandingan adalah permulaan baharu.

“Tidak mungkin apabila saya menjadi juara dunia, markah saya akan bermula dari 50 ataupun 100, semua akan bermula dari kosong, jadi kita hanya perlu bertenang,” katanya.

Penerjun berusia 27 tahun yang baru dinobatkan Olahragawati Kebangsaan 2017 itu tidak pernah memenangi pi­ngat di Komanwel sepanjang tiga penyer­taannya pada Sukan Komanwel iaitu pada 2006 di Melbourne, 2010 di Delhi dan 2014 di Glasgow.

Atlet kelahiran Perak itu juga tidak meletakkan sebarang sasaran peribadi, walaupun dilihat mempunyai peluang besar untuk meraih emas bersama Pandelela, gandingan dua ratu terjun ini mampu menghadiahkan pi­ngat emas buat negara di Sukan Komanwel selepas memenangi satu pingat perak dan satu gangsa dalam acara 10m platform seirama di dua kejohanan Siri Dunia Terjun FINA di Fuji dan Beijing pada bulan lalu.

“Dua kejohanan sebelum ini (Siri Terjun Dunia), saya anggap keputusan okay tetapi masih ada ruang untuk dibaiki. Daripada segi keputusan pula di Komanwel nanti saya akan melakukan satu demi satu dan tidak meletakkan tekanan kepada diri sendiri.

“Biar apa juga, saya pasti akan melakukan yang terbaik dalam setiap acara yang saya sertai,” ujarnya.