Katanya, kepulangannya ke sini juga akan dimanfaatkan sebaik­nya dengan meluangkan masa bersama keluarga.

“Ini kepulangan kedua saya selepas 24 Ogos lalu, tetapi kali ini saya berpeluang untuk menghabiskan masa lebih lama sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada Ahad ini.

“Selain itu, saya juga mahu berkongsi pengalaman bersama keluarga sepanjang saya berada di Rio,” katanya ketika ditemui di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini hari ini.

Jun Hoong tiba di Ipoh pada pukul 1 petang dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan disambut keluarga serta sahabat terdekat.

Katanya, dia juga mendapat undangan daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Choy yang merupakan sekolah lamanya untuk berkongsikan pe­ngalaman dan pencapaian sebagai atlet terjun negara dengan murid sekolah berkenaan.

Jun Hoong memperoleh pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama.

Mengenai sasarannya selepas ini, Jun Hoong berkata dia akan kembali menjalani latihan pada Isnin depan di Kuala Lumpur untuk persediaan menyertai Kejohanan Renang dan Terjun Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada November.