Perseorangan remaja negara itu menamatkan kemarau kejuaraan empat tahun negara selepas menundukkan Yupeng Bal dari China dalam pentas final Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jakarta, semalam.

Kata Jun Hao, dia perlu bijak mengawal tekanan terutama apabila memegang status sebagai pemain terbaik Asia ketika ini malah tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian yang telah dicapai.

Tambah pemain berusia 18 tahun itu, dia juga tidak mahu terlalu memandang mudah se­tiap lawan yang bakal dihadapi selepas ini terutama selepas bergelar juara Asia.

“Saya sedar cabaran dalam kejohanan dunia nanti pasti lebih mencabar kerana ada pemain hebat dari Jepun dan Korea Selatan, malah negara lain juga akan menurunkan barisan pemain terbaik mereka.

“Bagi menyerap tekanan, saya akan cuba bermain seperti biasa menghadapi setiap satu perlawanan dengan baik tanpa terlalu terburu-buru,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan Lapangan Ter bang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Jakarta, hari ini.

Jun Hao menjadi atlet ketiga negara merangkul kejuaraan itu selepas Zulfadli Zulkiffli pada 2011 dan Soo Teck Zhi pada 2013.

Sementara itu, pengurus pa­sukan remaja negara, A’amar Hashim berkata, dia tidak menjangka Jun Hao mampu untuk meraih pingat emas dalam Kejohanan Remaja Asia di Jakarta dan pemain itu telah membuktikan kemampuannya apabila muncul juara.

“Dia seorang pemain yang berbakat dan mempunyai masa depan yang cerah malah saya dapat lihat tahap kemahirannya semakin baik dalam kejohanan tersebut, cuma dia harus pandai mengawal tekanan selepas ini.

“Kejohanan dunia ini adalah satu perjuangan yang baharu bermula dan tekanan semakin kuat dan harap semua pemain ini dapat kawal tekanan dalam masa sama berharap dalam kejohanan dunia kami mampu raih pingat emas lagi,” kata A’amar.