Dalam perlawanan tersebut, Razak dinobatkan selaku juara setelah pesilat Thailand, Pornteb Poolkaew melakukan kesalahan berat dengan menendang rusuk kanan ketika wakil Malaysia itu sudah pun mengunci kakinya menerusi sepakan gunting.

Taktik kotor yang berlaku ketika Malaysia sedang mendahului 4-1 di pusingan kedua itu, bagaimanapun telah mengundang kecederaan Razak, dengan wasit memutuskan kemenangan berpihak kepada tuan rumah dalam saingan akhir acara tanding kelas putra D.

Sementara itu, Al Jufferi tidak berdepan masalah untuk menyumbang emas susulan lawannya, Pham Tuan Anh dari Vietnam bertindak menarik diri ekoran mengalami kecederaan ketika juara dunia tiga kali itu mendahului 5-0 pada pusingan kedua final dalam kelas putra E. - UTUSAN ONLINE