Pesilat yang diletakkan harapan untuk memenangi pingat emas buat Malaysia itu turut berhadapan dengan kemungkinan dihukum setelah melepaskan kemarahannya di bilik persalinan selepas meninggalkan gelanggang perlawanan akhir beberapa saat sebelum perlawanan tamat.

Al Jufferi, yang ketinggalan 1-4 kepada Komang Harik Adi Putra, meninggalkan gelanggang kerana berang dengan tindakan juri terutama dari Laos dan Korea Selatan yang jelas berat sebelah dalam memberikan mata.

Dia kemudian melepaskan kemarahan di dalam bilik persalinan sementara sehingga menyebabkan dinding bilik itu tercabut dan berlubang selain berlaku beberapa kerosakan lain.

“Ketidakadilan jelas berlaku dalam perlawanan ini dan berpunca daripada barisan juri, juri No.2 (Laos) dan No.3 (Korea Selatan) buta, tendang tangan pun boleh dapat mata. Atas sebab itu saya keluar gelanggang.

“Sebagai Olahragawan negara, saya kecewa dan tidak boleh menerima keputusan tersebut dan saya sedia dikenakan tindakan.

“Saya menghormati semua pihak tetapi saya tidak boleh hormat juri perlawanan ini,” katanya yang meraih pingat perak buat negara bersama Muhammad Faizul Nasir yang turut menjadi mangsa juri dalam perlawanan akhir Kelas B ketika menentang wakil Indonesia, Abdul Malik.

Barisan juri perlawanan jelas berat sebelah apabila menghadiahkan mata kepada Komang meskipun serangannya tidak mengenai bahagian yang ditetapkan. Juri juga tidak mengenakan penalti kepada wakil tuan rumah itu meskipun melakukan serangan ketika Al Jufferi sudah dijatuhkan.

Al Jufferi berkata, sekiranya pencak silat terus dicemari ‘permainan kotor’, berkemungkinan sukan itu tidak akan dipertandingkan dalam edisi akan datang.

“Saya tahu China (tuan rumah Sukan Asia 2022) berminat untuk menyenaraikan sukan ini dalam edisi akan datang dan tindakan keputusan berat sebelah ini mungkin akan menutup peluang sukan ini,” katanya.

Indonesia menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan hari ini, termasuk tiga dalam acara seni. – UTUSAN