Bagaimanapun kedua-kedua atlet berkenaan tidak dapat menghadiri majlis Anugerah Sukan UPM malam ini kerana menjalani latihan di luar negara menjelang Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Kedua-dua pemenang mendapat habuan wang tunai berjumlah RM2,000 di samping piala pusingan, piala iringan, sijil dan jam tangan.

Jonathan, yang juga penuntut jurusan Bacelor Kejuruteraan Aeroangkasa mengatasi dua lagi pencabar dari sukan menembak, Zubir Mohamad dan Mohamad Lutfi Othman.

Minggu lalu, Jonathan membuat kejutan apabila muncul juara dengan mengatasi pemegang pingat emas Olimpik, Hoang Xun Vinh dari Vietnam dalam acara 50 meter pistol pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara di Subang.

Atlet berusia 25 tahun itu juga merupakan atlet menembak pertama negara yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Rio tahun lepas.

Sementara itu, pelajar jurusan Bacelor Pembangunan Manusia, Saritha mengekalkan gelarannya setelah mengatasi empat pencabar lain iaitu dua daripadanya atlet lawan pedang Ivy Cheah Hsiao Yong dan Natasha Ezzra Abu Bakar selain Nur Syafazliyana Mohd. Ali (bola jaring).

Tahun lepas, atlet kelahiran Kedah itu memenangi emas pada Siri Piala Dunia di Shanghai buat kali pertama di samping rakan sepasukan Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Nor Rizah Ishak Mei.

Selain itu, anugerah Bintang Harapan lelaki dimenangi oleh atlet hoki, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, manakala ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli memenangi kategori wanita. - UTUSAN ONLINE