Walaupun ada pihak dalam NAAM sendiri mempertikaikan pencalonan Johari, namun ia tidak menghalang Ahli Parlimen Kubang Pasu ini untuk mendapat sokongan majoriti apabila meraih 19 undi daripada 46 perwakilan.

Dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Presiden NAAM yang boleh dianggap sengit kali ini, Johari menewaskan pe­nyandang jawatan sebelum ini, Mohd. Yazid Yahaya yang memperoleh 18 undi manakala satu lagi calon yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Asia Tenggara (SEAAF) dan bekas Setiausaha Kehormat NAAM beberapa tahun lalu, Mejar (B) Baharuddin Jamil hanya mendapat lapan undi. Satu undi rosak.

“Saya tidak melihat jumlah undi yang diterima me­nunjukkan NAAM kini sudah terpecah dua. Ia sebenarnya perkara biasa dalam mana-mana pemilihan me­rebut jawatan.

“Yang penting kita rapatkan semula barisan kerana saya percaya mampu menggunakan jawatan sebagai timbalan menteri untuk menjulang sukan memanah ke peringkat lebih baik,” kata Johari ketika ditemui selepas mesyuarat.

Sehubungan itu ujarnya, agenda utama yang mahu dilakukannya selaku Presiden NAAM ialah bertemu semua ahli gabungan dan berbincang bagaimanapun mereka boleh membantu memajukan sukan memanah.

Antara agenda tersebut ialah menentukan venue sukan memanah Sukan SEA 2017, melantik Setiausaha Kehormat NAAM yang baharu, menyelesaikan dakwaan kes penyalahgunaan dana setiausaha terdahulu, me­ngatasi masalah kewa­ngan persatuan dan melakukan penambahbaikan terhadap perancangan yang telah dilakukan presiden dan barisan exco terdahulu.