JEFFREY WEBB

Dalam aksi hari ini, atlet negara berusia 19 tahun itu gagal menamatkan saingan pusingan pertama selepas gagal melepasi halangan yang ditetapkan di dalam acara itu kerana berdepan masalah teknikal.

Pengurus pasukan, Othman Mirzan memberitahu, Jeffrey berdepan kesulitan semasa melalui halangan kerana dia menuruni kawasan curam dengan pantas dan gagal mengawal keadaan, sekali gus membuatkan dia gagal melepasi pusingan itu.

Katanya, di dalam sukan itu banyak perkara yang berada di luar kawalan setiap atlet termasuk keadaan persekitaran dan ia menjadi antara cabaran utama buat mereka.

Bagaimanapun, dia percaya atlet muda itu memiliki masa depan cerah dalam sukan itu namun perlu terus menjalani latihan bagi menyempurnakan setiap teknik yang ada pada dirinya.

Katanya, selepas ini Jeffrey akan menyertai lebih banyak kejohanan sebagai persiapan awal untuk mempersiapkan diri untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

“Sebagai atlet daripada Malaysia, saya melihat dia memiliki masa depan yang sangat cerah dalam sukan ini dan kami sangat gembira dengan penampilan pertamanya di dalam temasya sukan ini.

“Sudah pasti dia akan lebih berjaya pada masa akan datang tetapi dia perlu terus menjalani latihan demi latihan kerana dia perlu memastikan tekniknya berada dalam keadaan sempurna.

“Selepas ini Jeffrey akan menyertai pelbagai pertandingan termasuk Kejohanan Remaja Dunia, Kejohanan Dunia dan paling penting ialah 2022 (Sukan Olimpik Musim Sejuk),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE