Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin khuatir jika tindakan yang diambil persatuan sukan di negara ini berbeza dengan peraturan antarabangsa, ia boleh menyebabkan berlakunya masalah yang lain.

“Persatuan sukan mesti mengikut peraturan WADA dan peraturan baharu WADA adalah empat tahun (penggantungan). Kalau tidak ikut, maka WADA akan membuat pertikaian dan ini akan menjadi kes rujukan kepada di peringkat antarabangsa.

“Saya rasa WADA akan pertikaikan penggantungan dua tahun Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM)...Saya tidak boleh campur tangan sebab ini tugas daripada WADA cuma saya boleh komen sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Apa yang berlaku seterusnya terpulang kepada WADA, tetapi saya harap persatuan-persatuan tegas dalam mengambil tindakan terhadap doping (kes) dan sekarang, penggantungan mandatori empat tahun,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Khairy juga meminta Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) dan Institut Sukan Negara (ISN) meningkatkan lagi pemantauan menjelang Sukan SEA yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan dengan membuat lebih banyak ujian rawak.

“Tidak mengapalah kita perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih sedikit, sebab saya tidak mahu ada apa-apa kes positif (doping) dalam Sukan SEA nanti.

“Lebih baik buat sekarang daripada menerima keputusan positif pada temasya itu nanti. Kalau berlaku ketika itu, ia dah terlewat kerana kalau menang pingat, akan ditarik balik,” jelasnya.

Sepanjang tahun ini tiga ­atlet angkat berat disahkan menggunakan bahan terlarang steroid dengan dua daripadanya digantung dua tahun iaitu Constantine Clement dan Mohd. Nasir Roslan.

Baru-baru ini, dua pingat emas yang dimenangi atlet Pahang, Khairul Anuar Mohamad dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak ditarik balik selepas jaguh angkat berat itu disahkan positif do­ping.

Menurut Setiausaha Kehormat PABM, Pang Siew Huat, proses pendengaran kes Khairul Anuar akan dibuat di Pulau Pinang, bulan depan. Pengurus pasukan dan jurulatih yang membimbing atlet tersebut juga akan dipanggil untuk memberi penjelasan sebelum hukuman dijatuhkan.

Sementara itu, Khairy turut meminta Majlis Sukan Negara (MSN) supaya mengkaji sama ada jurulatih benar-benar tidak tahu atau mungkin berpura-pura tidak tahu mengenai penglibatan atlet mereka dalam mengambil bahan terlarang.

“Kalau nak kata kita tidak pernah bagi pendedahan kepada mereka, ia satu kenyataan yang tidak betul. Majlis Sukan Negara, Majlis Sukan Negeri sentiasa mengingatkan kepada mereka bahawa jangan mengambil bahan-bahan terlarang oleh WADA dan juga persatuan sukan,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kewujudan makmal doping di Bukit Jalil yang dicadangkan sebelum ini tidak dapat dilaksanakan kerana ia menelan kos yang tinggi dan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

“Jadi, buat masa ini kita masih lagi terpaksa hantar sampel terlibat ke (makmal) di Thailand atau India,” ujarnya.