Katanya, sukan merupakan medium terbaik untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang di negara ini, justeru Stuart berharap Perdana Menteri dapat mengutamakan sukan bagi Belanjawan 2019.

“Sukan merupakan medium terbaik untuk menyatupadukan rakyat di negara ini dan disebabkan itu saya berharap agar Belanjawan 2019 dapat memberi keutamaan kepada sukan.

“Belanjawan yang dibuat perlu meliputi semua sukan dan tidak tertakluk kepada sukan elit sahaja kerana itu akan memberi kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Stuart turut memberitahu agar kerajaan dapat mengukuhkan hubungan kerjasama yang sudah terjalin bersama badan induk negara itu.

“Saya berharap kerajaan dapat memberi sokongan kepada pelan tindakan yang akan diumumkan oleh FAM esok dan sememangnya kami mengharapkan sambutan daripada kerajaan.

“Bola sepak adalah sukan No. 1 di Malaysia dan sebab itu FAM dan kerajaan perlu memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama yang sudah terjalin dalam usaha kami melakukan program pembangunan dan pasukan elit kebangsaan,” katanya lagi.