RAMLAN ABD AZIZ

Ramlan berkata sepanjang ADAMAS melakukan ujian doping dalam kalangan atlet negara sejak awal tahun ini ada di antara mereka yang cuba melarikan diri bagaimanapun beliau memberitahu perkara tersebut masih berada di bawah kawalan.

“Saya ingin mengingatkan atlet jika mereka melarikan diri daripada melakukan ujian doping mereka boleh dianggap positif. Saya nasihatkan jangan cuba melarikan diri. Baru-baru ini perkara tersebut berlaku namun tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana kami sendiri yang pergi kepada mereka dan menasihati agar melakukan ujian doping.

“Atlet yang melarikan daripada ujian doping boleh dikenakan hukuman tetapi saya fikir tidak perlu dedahkan siapa atlet tersebut kerana mereka sudah pun menjalani ujian doping,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Anti Doping 2018 di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil hari ini.

Ramlan turut menggesa agar atlet mengambil iktibar daripada kes-kes doping yang melibatkan kontinjen negara terutamanya Sukan SEA 2017 apabila penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee gagal ujian doping selepas disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine yang kebiasaannya terdapat dalam produk pelangsing badan.

Wendy terpaksa memulangkan semula dua pingat emas yang dimenanginya dan dia digantung berkuat kuasa pada 26 Ogos 2017, iaitu tarikh sampel B diambil dengan hukuman berkenaan bakal tamat pada 26 April depan.

“Terdapat dua cabaran utama dalam membasmi ujian doping. Pertama, adalah untuk mencari atlet yang menipu daripada segi mengambil barang terlarang untuk meningkatkan prestasi secara tidak sah. Kedua, mencegah atlet daripada ambil bahan terlarang secara tidak sengaja.

“Banyak perkara yang perlu diteliti atlet supaya tidak terjerumus buat kesilapan seperti mengambil suplemen bukan dari farmasi, ISN dan sebagainya. Bahan terlarang itu biasanya tidak ditulis dalam senarai isi kandungan. Kita perlu ambil iktibar daripada pengajaran yang lepas,” katanya.

Sementara itu, dalam berkembangan berasingan, Pengarah Program Podium, Timothy O’Brien Newenham mensasarkan kontinjen negara menamatkan saingan Sukan Komanwel 2018 dalam kelompok 10 negara terbaik.

“Kami yakin atlet semuanya sudah bersedia. Mereka mempunyai peralatan yang lengkap dan menerima pendedahan dengan menyertai kejohanan di luar negara. Sukar untuk tetapkan berapa emas yang perlu dikutip namun sasaran kami adalah 10 negara terbaik. Kami tidak akan namakan atlet yang menjadi sandaran untuk mendapatkan emas kerana tidak mahu memberi tekanan kepada mereka,” katanya.

Berdasarkan rekod, Malaysia menamatkan kempen Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland di tangga ke-12 secara keseluruhan setelah mengutip enam emas sekali gus gagal mencapai sasaran tujuh emas yang ditetapkan. - UTUSAN ONLINE