JALUR GEMILANG dinaikkan oleh sukarelawan dalam upacara menaikkan bendera sempena Sukan SEA 2015 di perkarangan Stadium Roar Hab Sukan Singapura, semalam.

Enggan melihat ‘pisang berbuah dua kali’, beliau mengingatkan atlet adalah duta kecil yang membawa imej negara dan mereka perlu menyelami konsep sebenar Sukan SEA diadakan iaitu untuk memupuk perpaduan dan toleransi sesama atlet rantau Asia Tenggara.

“Saya harap apa yang dilakukan oleh Nazmi dijadikan pengajaran berguna oleh atlet lain, tambahan kepada atlet muda. Mereka perlu mempunyai disiplin yang tinggi ke­rana mereka ialah duta kecil negara sebaik sahaja mereka memasuki gelanggang.

“Bercakap mengenai konsep Sukan SEA, semuanya berkaitan perpaduan dan bertujuan menerapkan semangat kesukanan yang tinggi, jadi saya harap mereka faham apa tujuan kita di sini.

“Selain memenangi acara sukan yang mereka ambil bahagian,” katanya selepas majlis menaikkan bendera di pekarangan Kompleks Hab Sukan Singapura.

Norza jelas masih terkilan de­ngan tindakan Nazmi yang dianggap melanggar etika seorang atlet profesional dan dalam masa sama merosakkan imej negara di Sukan SEA kerana meludah pemain Timor Leste dalam perlawanan bola sepak Kumpulan B pada Sabtu lalu.

Perbuatannya itu menyebabkan dia dikenakan kad merah, dan semalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan hukuman gantung enam perlawanan kepada pemain Selangor itu.

Norza menegaskan, kenyataannya sebelum ini yang mahu Nazmi dihantar pulang bukannya dipe­ngaruhi emosi tetapi kerana perbuatan pemain pemain itu memang tidak boleh diterima.

“Sebagai seorang pemain, dia sepatutnya bijak mengawal perasaan dan tahu untuk bertindak,” katanya.

Sementara itu, majlis upacara menaikkan Jalur Gemilang semalam berlangsung dalam keadaan sederhana tetapi meriah biarpun hanya dihadiri oleh atlet tenis dan pelayaran, selain Timbalan Ketua Kontinjen Negara, Dr. Shamala Su­bramaniam.

Menyentuh isu berlainan, beliau berharap pingat gangsa yang dipungut oleh beregu wanita, Ho Ying dan Lee Rou You dalam sukan ping pong bakal menyemarakkan semangat atlet lain dalam misi pemburuan pingat emas.

“Dari awal lagi, kita memang tahu agak sukar mencari pingat emas dalam sukan ping pong, walaupun mereka sekadar berjaya mendapatkan pingat gangsa, bagi saya ini satu permulaan baik.

“Walaupun ramai berasakan pi­ngat gangsa ini seolah-olah tidak seberapa, sekurang-kurangnya menjadi pembakar semangat kepada atlet-atlet lain dan seperti mana yang saya katakan sebelum ini ialah kami sasarkan 56 peratus pingat daripada keseluruhan atlet kita yang bertanding,” katanya.