Permintaan itu dibuat Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan dengan Khabib dan ba­panya, Abdulmanap di ­Ulyanovsk, semalam.

Menurut Putin, beliau memahami apa yang dirasai Khabib, yang bertindak menyerang jurulatih jujitsu Conor McGregor, Dillon Danis sebaik sahaja pertarungan di Las Vegas itu berakhir.

Kata Putin, sesiapa sahaja akan bertindak balas jika dise­rang dengan provokasi melampau melibatkan agama, keluarga serta negara.

“Sudah tentu sesiapa sahaja akan melompat keluar dengan cara sama.

“Apabila anda diserang (provokasi) bukan anda sahaja akan bertindak balas seperti itu tetapi semua orang pasti melakukan perkara sama.

“Saya beritahu Abdulmanap janganlah hukum Khabib terlalu keras,” katanya.

Sejurus tamat pertaru­ngan, Abdulmanap yang juga bekas jaguh gusti Rusia memberi amaran kepada Khabib bahawa perbuatannya tidak boleh diterima.

“Anda boleh melakukan apa sahaja dalam octagon (gelanggang) tetapi di luar... Ada kanak-kanak, wanita dan orang awam.

“Pasukan saya dikenali kerana disiplin, dan disi­p­lin yang saya terap kepada Khabib lebih keras berbanding orang lain,” kata Abdulmanap.

Biarpun tindakan Khabib, 30, mencetus kontroversi, namun dia disambut seperti wira oleh lebih 10,000 peminat sebaik sahaja tiba di Dagestan, kelmarin. – AGENSI