Mat Sport
Mat Sport 

Bercakap fasal baharu, Mat ingin menyentuh hal Program Podium pasca Sukan Asia Ke-18 di Jakarta-Palembang. Ke­cuali lumba basikal dan pelayaran, lima daripada tujuh pingat emas yang dimenangi di sana diperoleh daripada sukan yang tidak dipertan­dingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jadi apakah relevannya untuk atlet sepak takraw, skuasy dan boling yang dijulang sebagai wira Sukan Asia 2018, terus dikekalkan di bawah Program Podium sedangkan matlamat program berkenaan ialah untuk meraih pingat emas sulung negara di Tokyo? Mat harap rasa kasihan tiada dalam pertimbangan mereka yang akan membuat keputusan nanti.

Sebagai me­ngenang kudrat dan keringat mereka, kredit berhak diberikan selain ganjaran lumayan Skim Hadiah Ke­menangan Sukan (Shakam) atas sumba­ngan mereka selama ini tetapi mengekalkan mereka dalam Program Podium tidak seharusnya dilakukan. Jika Program Podium dianggap sebagai sebuah bas yang mana sepak takraw, silat, boling dan skuasy turut menjadi penum­pang bersama sukan lain, maka mereka sepatutnya turun di destinasi tujuan mereka iaitu Sukan Asia 2018 manakala penumpang lain meneruskan perjalanan mereka.

Untuk sukan yang tidak ke Olimpik, maka Kementerian Belia dan Sukan boleh mewujudkan program khas lain yang bersesuaian untuk persiapan menghadapi Sukan SEA 2019, Sukan Asia-Komanwel 2022.

Mat juga berpendapat sudah sampai masanya sasaran emas kita untuk peringkat Asia dan Komanwel ditinggikan kepada dua angka. Mat harap jangan lagi apabila tiba dua temasya ini empat tahun lagi di Hangzhou dan Birmingham, ketua kontinjennya cuma main taktik selamat dan berkata “sasaran kita perbaiki pencapaian 2018”.

Jenis sukan penyumbang perak dan gangsa di Jakarta-Palembang yang ada prospek meraih pingat Olimpik pula jangan sesekali dianaktirikan bagi Program Podium pasca Sukan Asia itu, antaranya taekwando, eku­es­trian, terjun, memanah dan hoki.

Bagi penyumbang tetap pi­ngat kita dalam Olimpik sejak Barcelona 1992 (kecuali Sydney 2000) iaitu badminton pula pasti menuntut rombakan drastik berikutan ke­gagalan mereka dalam Sukan Asia.

Pemantauan prestasi-atletnya pun kena ada pemeringkatan atau periodisasi. Tahap pertama 2019 dan tahap kedua, bulan-bulan terdekat ke Olimpik.

Tidak dapat dinafikan Malaysia mampu menghantar setiap wakil dalam perseorangan, beregu lelaki serta wanita dan beregu campuran yang mengutip mata kelayakan Olimpik secukupnya dalam ranking BWF (Persekutuan Badminton Dunia).

Namun mengambil iktibar aksi longlai mereka dalam Sukan Asia, timbul pertanyaan bolehkah ‘Pasport Ke Tokyo’ mereka diluluskan serta-merta.

Tanpa menafikan tradisi dan sejarah selaku penyumbang tetap pingat Olimpik kita, ­prestasi semasa atlet wajar menjadi keutamaan. ‘Negara-negara kerdil’ badminton Asia dulunya seperti India, Jepun, Thailand, Taiwan dan Hong Kong sudah semakin menghambat dan menggugat.

Mengimbas Sukan Koman­wel Gold Coast dan Piala Thomas, April dan Mei lalu mahupun Olim­pik Rio 2016, jangan sesekali BAM (Persatuan Badminton Malaysia) abaikan England, Pe­rancis dan Sepanyol lagi.