Sebelum ini sejak 1930, hanya negara seperti Kanada, Australia dan England sahaja silih berganti menganjurkannya namun atas kesedaran untuk mengelak tanggapan wujudnya monopoli kulit putih maka negara kulit hitam pertama dipilih.

Jamaica bagaimanapun dalam penampilan pertama selaku tuan rumah gagal mempamerkan penguasaan seperti yang dilakukan Australia dan England yang biasanya akan muncul juara keseluruhan di tempat sendiri.

Bukan itu sahaja, lebih malang daripada itu apabila Jamaica tidak langsung berjaya meraih walau satu pingat emas sekali pun di tanahair mereka sendiri.

Edisi kelapan ini berakhir dengan England muncul juara keseluruhan walaupun sebelum itu negara tersebut mempertikaikan kemampuan Jamaica dan mempersoalkan kekurangan infrastruktur untuk menganjurkan Sukan Komanwel.

Namun di akhir temasya, Jamaica berjaya menutup mulut pengkritiknya dengan 34 negara dan 1,316 atlet menyatakan rasa puas hati dengan penganjuran yang dilakukan. Cuma sedikit kontroversi apabila tuan rumah menggugurkan dua sukan yang biasa dipertandingkan iaitu boling padang dan mendayung.

Sebaliknya Jamaica menyenaraikan buat kali pertama sukan badminton dan menembak sebagai pengganti untuk mengekalkan sembilan jenis sukan sejak 1950. Yang dikekalkan adalah olahraga, tinju, berbasikal, lawan pedang, renang/terjun, angkat berat dan gusti.

Langkah Jamaica itu ternyata membuka ruang kepada Malaysia untuk menghantar skuad badmintonnya yang ketika itu antara terkuat di dunia buat kali pertama ke Sukan Komanwel dan terus menyerlah dengan menyumbang dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Bagaimanapun Malaysia gagal meraih sebarang pingat dalam angkat berat, menembak, olahraga dan renang. Olahraga ketika itu diwakili Dr. M. Jegathesan (acara lari pecut), Nashatar Singh (rejam lembing), R. Subramaniam (lari sebatu), M. Rajamony (440 ela wanita) dan Dilbagh Singh Kler (lari 3 batu).