Mengikut jejak legenda itu, lahir nama-nama besar yang memartabatkan sukan tersebut termasuk barisan atlet muda seperti Welson Sim Wee Sheng yang beraksi cemerlang dalam acara berprestij termasuk Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu.

Misi mencari pelapis muda untuk meneruskan kecemerlangan Nurul Huda dan Welson tidak terhenti, malah pelbagai program dianjurkan sama ada kerajaan mahupun swasta yang sentiasa diteruskan bagi tujuan itu.

Syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia Bhd. (AirAsia) adalah antara yang ke hadapan dalam memartabatkan sukan itu di negara ini. Menerusi kempen #DARETODREAM, syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia itu mewujudkan inisiatif untuk pembangunan sukan negara termasuk acara renang.

Di bawah #DARETODREAM, lahir inisiatif yang dipanggil Ben Proud Talent Pool Coaching Clinic. Program tersebut pada peringkat awal dilaksanakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah untuk mencari lapan perenang muda berpotensi tinggi bagi mengikuti acara kemuncak yang diadakan di Phuket, Thailand.

Acara kemuncak menyaksikan lapan peserta terpilih berkampung di hotel Thanyapura Sports bagi mengikuti latihan selama tiga hari di bawah kendalian juara dunia acara renang 50 meter kuak kupu-kupu kejohanan akuatik dunia 2017, Benjamin Proud.

Ketua Penjenamaan Serantau AirAsia, Rudy Khaw berkata, Ben Proud Talent Pool Coaching Clinic merupakan program tahunan melibatkan juara dunia itu.

Katanya, program tersebut selaras dengan matlamat AirAsia dalam merealisasikan impian orang ramai.

“AirAsia percaya impian perlu dikejar. Oleh itu, syarikat ini mahu mengambil bahagian dalam merealisasikan impian perenang muda mengikuti latihan bersama atlet bertaraf antarabangsa berprofil tinggi.

“Tahun ini, seramai 150 perenang muda menyertai klinik renang bersama Ben Proud di ketiga-tiga lokasi tersebut. Daripada jumlah itu, lapan peserta terpilih untuk mengikuti latihan eksklusif di Phuket,” katanya.

Dalam pada itu, Benjamin berkata, dia gembira kerana diberi peluang menjayakan program tersebut.

Dia yang pernah menghabiskan usia kanak-kanak di Malaysia beberapa tahun lalu amat berbesar hati kerana dapat menyumbang kepakaran menerusi bidang renang tempatan.

“Pertemuan dengan peserta sedikit sebanyak mengembalikan memori ketika menetap di Malaysia dahulu. Menjadi harapan saya melihat perenang muda Malaysia berjaya di peringkat dunia dan program ini adalah platform yang tepat untuk matlamat itu.

“Semasa sesi pemilihan lapan peserta terbaik, saya bersama jurulatih fokus kepada mereka yang mempunyai komitmen dan keinginan untuk belajar lebih tinggi. Rata-rata kesemua 150 peserta ada ciri-ciri itu.

“Kalau boleh, saya ingin melatih kesemua mereka, namun saya sedar untuk memberi tunjuk ajar kepada perenang yang ramai, bukan perkara mudah. Jadi, hanya lapan peserta dipilih untuk mengikuti sesi di Phuket,” jelasnya.