Mat Sport
Mat Sport

Daripada isu melanggar ‘wak­tu berkurung’ melibatkan pemain badminton, Goh Soon Huat dan penjaga gol futsal wanita negara, Nur Iz­wani Azman sehinggalah kepada pengguguran atlet pecut, S. Komalam Shally ekoran masalah disiplin.

Apa yang Mat perhatikan, masalah yang melanda ketiga-tiga atlet berkenaan, semuanya bersangkut paut dengan isu disiplin.

Mat bukan hendak menu­ding jari kepada sesiapa pun, tapi bagi pandangan Mat, sebagai atlet mereka harus patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan.

Isu disiplin bukan satu perkara yang boleh dikompromi. Setiap peraturan yang digariskan pasti ada sebab tertentu, jadi atlet yang terlibat perlulah akur dengan peraturan tersebut.

Selaku tuan rumah dan ber­aksi di laman sendiri, tidak bermakna atlet terlibat bebas untuk melakukan apa sahaja. Jagalah disiplin anda kerana sebagai atlet anda merupakan model contoh buat masyarakat di luar sana.

Maruah negara juga perlulah dijaga. Sebagai atlet, anda membawa nama Malaysia ke mana-mana sahaja anda me­langkah.

Seperti kes Soon Huat, pemain itu mendakwa dia sekadar berada di lobi hotel kerana bertemu dengan rakannya.

Namun, Mat hen­dak berta­nya, apa yang anda buat sehingga pukul 3 pagi. Sebagai atlet yang perlu menjaga tahap kecergasan, ia bukanlah perkara yang bagus untuk berjaga malam lebih-lebih lagi pertan­dingan semakin hampir.

Sekarang bukan masanya untuk atlet-atlet ini bersantai, bertemu rakan taulan atau ahli keluarga kerana fokus mereka seharusnya kepada latihan dan pertandingan yang bakal dihadapi.

Lagipun, bukan selalu negara kita bergelar tuan rumah Sukan SEA. Bagi menjadi penganjur temasya terbesar di rantau ini, Malaysia terpaksa menunggu giliran selama 16 tahun.

Berkorbanlah demi negara walau sedikit. Mat bukan minta atlet-atlet ini angkat senjata, pergi ke medan perang, cuma sedikit pengorbanan sepanjang temasya berlangsung.