Selepas dua hari pertandingan yang hambar tanpa sebarang pencapaian membanggakan melibatkan atlet elit negara, Jackie mencatatkan 66.01 meter (m) menerusi percubaan ketiga saingan akhir acaranya dalam laluan untuk memenangi pingat emas.

Catatan itu hampir satu meter lebih baik berbanding rekod lama 65.90m yang dilakukan atlet mewakili ATM itu ketika mewakili negara dalam Sukan SEA 2017 di venue sama.

Atlet dari Sarawak itu berkata, dia tidak menjangka dapat memperbaharui rekod kebangsaan dalam kejohanan di Bukit Jalil kerana sasarannya dalam kejohanan itu adalah untuk mencuba teknik baharu.

“Tumpuan saya adalah untuk mencuba teknik baharu dan hari ini saya hanya beraksi dengan lebih tenang sahaja tanpa sebarang tekanan.

“Ini adalah kali ke-12 saya memperbaharui rekod kebangsaan sejak 2013 dan selepas ini saya mungkin akan menjalani latihan di Jerman,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan persaingan.

Pingat perak acara itu menjadi milik atlet dari Kuwait, Al Jawhar Mohamad dengan catatan 59.64m manakala Sadat Marzuqi Ajisan dari Negeri Sembilan pulang dengan pingat gangsa setelah membaling sejauh 49.10m.

Dalam pada itu, dalam acara baling tukul besi wanita pula me­nyaksikan atlet dari ATM, Nur Fazira Jalaludin mengungguli saingan akhir dengan catatan 52.75m.

Pingat perak menjadi milik Fatin Nabihan Ibrahim dari Perlis dengan catatan 47.33m manakala rakan senegerinya Siti Norhamidah Patriee memperoleh pingat gangsa dengan catatan 42.75m.

Sementara itu, dalam acara tumpuan lain iaitu 4x100m lelaki menyaksikan ATM menguasai saingan akhir dengan catatan 40.47s untuk pingat emas.

Pingat perak milik kuartet Terengganu yang menamatkan saingan dengan catatan 40.69s dan kuartet Melaka di tempat ketiga dengan catatan 40.90s.

Rekod kebangsaan acara tersebut masih kekal dengan catatan 39.27s dilakukan dalam Sukan SEA 2017.

Bagi saingan 4x100m wanita pula menyaksikan pingat emas menjadi milik ATM yang menamatkan persaingan dengan catatan masa 46.24s.

Catatan tersebut tidak berjaya memperbaharui rekod kebangsaan iaitu 45.18s.

Pingat perak menjadi milik kuartet Singapura yang mencatat 47.25s manakala gangsa dimenangi pasukan Johor, 48.33s.