Jackie menamatkan aksi saingan akhir baling tukul besi di Doha dengan catatan rekod baharu kebangsaan 67.01 meter (m) memadam rekod lama 66.01m dilakukan dalam kejohanan olahraga Terbuka Malaysia pada tahun lalu.

Kata Jackie, kejayaan tersebut turut menaikkan semangatnya memenangi pingat emas dengan mencipta rekod baharu temasya di Manila.

Ketika ini rekod temasya baling tukul besi ialah 65.90m yang dilakukan oleh Jackie sewaktu Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

“Hari ini saya hanya membuat balingan seperti biasa.

“Beraksi dengan tenang tanpa sebarang tekanan sewaktu saingan akhir membolehkan saya membuat balingan dengan lebih baik.

“Saya juga tidak jangka mampu membuat balingan lebih daripada 67m kerana sasaran awal saya adalah catatan 66m dan kini saya lebih bersemangat untuk melakukan aksi lebih baik lagi bagi membantu negara memenangi pingat emas dalam Sukan SEA di Manila,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Atlet dari Sarawak berkenaan menamatkan saingan akhir di tempat kelapan dengan catatan baharu rekod kebangsaan itu.

Dalam pada itu, dalam acara lompat tinggi di Doha menyaksikan dua jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei sekadar pulang dengan tangan kosong.

Dalam saingan akhir di Doha menyaksikan Hup Wei menamatkan aksi di tempat keempat dengan catatan 2.26 meter (m) manakala Nauraj di kedudukan keenam dengan catatan 2.23m. - UTUSAN ONLINE