logo2006
 

Kebanyakan atlet tersebut dari benua Afrika seperti Sierra Leone (14 orang), Cameroon (9) dan Tanzania (seorang). Tidak kurang juga dari Asia seperti Bangladesh (seorang). Ada yang dibenarkan tinggal di Australia dan ada yang dihantar pulang ke negara masing-masing.

Atlet lari dari perkampungan sukan untuk mendapatkan suaka politik sebenarnya bukan isu baharu kerana ia telah mula menjadi pencetus trend empat tahun sebelum itu di Manchester, England apabila 27 atlet terlibat. Namun, masalah itu tidak didedahkan secara terbuka kepada umum.

Ternyata ia menjadi semakin serius pada temasya 2006 kerana beberapa hari selepas upacara pembukaan dilangsungkan pada 15 Mac, trend itu sudah bermula. Kes pertama dilaporkan kepada polis ialah pada 20 Mac membabitkan dua atlet iaitu petinju Tanzania, Omari Idd Kimweri dan pelari Bangladesh, Mohammad Tawhidul Islam.

Dua hari selepas itu, tujuh lagi atlet Sierra Leone (3 wanita, 4 lelaki) dilaporkan hilang. Ini tidak termasuk tujuh lagi atlet dari negara sama hilang selepas tarikh tersebut. Polis percaya mereka ke Sydney untuk menyertai komuniti Sierra Leone sedia ada yang lebih besar di sana dan ia ternyata benar.

Dua jam sebelum upacara penutup dilangsungkan pada 26 Mac, sembilan atlet Cameroon pula hilang. Dua dari mereka kemudian ditemui berada di Perth.

Semua insiden kontroversi itu, bagaimanapun, tidak menjejaskan kemeriahan temasya edisi ke-18 yang dilapor menelan belanja AUS$1.144 bilion dolar (RM3.66b) dan dianggap termahal ketika itu mengatasi Manchester yang melibatkan kos 600 juta pound (RM3.3b) empat tahun sebelumnya.

Kos penganjuran meningkat didorong oleh penyertaan lebih ramai atlet berikutan penambahan acara yang dipertandingkan. Namun, jumlah sukan yang dipertandingkan dan jenisnya hampir sama seperti sebelum ini.

Sukan yang dipertandingkan ialah akuatik, olahraga, badminton, bola keranjang, boling padang, tinju, berbasikal, gimnastik, hoki, bola jaring, ragbi 7-sebelah, menembak, skuasy, ping pong, triathlon dan angkat berat.

Seperti biasa selaku tuan rumah, Australia muncul juara keseluruhan dengan memungut 84 emas, jauh meninggalkan England di tempat kedua dan Kanada ketiga.

Pencapaian Malaysia pula boleh dibanggakan apabila kekal di tempat kelapan keseluruhan kali kedua berturut-turut dengan memungut tujuh emas, 12 perak dan 10 gangsa.

Emas diperoleh seperti biasa menerusi badminton (4 pingat) selaku penyumbang tetap kontinjen negara sejak 1966 selepas Lee Chong Wei menjuarai perseorangan lelaki, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dalam beregu lelaki dan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty untuk beregu wanita, selain acara berpasukan campuran.

Tiga lagi emas disumbang atlet boling padang menerusi Siti Zalina Ahmad, trio Azlina Arshad, Nor Hashimah Ismail dan Nor Iryani Azmi serta atlet angkat berat, Mohd. Faizal Baharom.

Selain tiga sukan itu, Malaysia juga mengambil bahagian dalam acara terjun, menembak, hoki dan gimnastik yang turut menyumbang pingat tetapi bukan emas.