Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, jurulatih yang dimaksudkan adalah bapa kepada salah seorang pelayar Olimpik berkenaan iaitu Khairul Nizam Mohd. Afendy.

Pertemuan itu katanya perlu diatur selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN/Majlis Olimpik Malaysia/Persatuan Pelayaran Malaysia semalam gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan Mohd. Afendy Abdullah.

“Bagi Khairulnizam sendiri yang telah memohon untuk mendapatkan khidmat bapanya sebagai jurulatih, kami memutuskan untuk menangguhkan keputusannya dahulu dan saya akan berjumpa dengan kedua-dua mereka untuk membincangkan berhubung permintaan tersebut,” katanya.

Kedudukan jurulatih skuad pelayaran antarabangsa itu masih menjadi tanda tanya bagi mengiringi Khairul Nizam dan Nur Shazrin Abdul Latif yang sudah pun layak secara merit.

Shapawi bagaimanapun menegaskan program khas bagi kedua-dua pelayar Olimpik negara itu akan tetap diteruskan seperti biasa walaupun isu jurulatih itu belum dapat diselesaikan lagi buat masa ini.

“Salah satu programnya ialah mengikuti pertandingan percubaan Olimpik yang akan diadakan di Jepun pada Julai dan Ogos ini. Itu adalah satu pendedahan yang benar-benar kita tunggu untuk pelayar yang sudah layak,” ujarnya. - UTUSAN