Bagaimanapun kecemerlangan China dipalit insiden memalukan apabila 11 atlet mereka, termasuk tujuh perenang yang terdiri daripada dua juara dunia, Yang Aihua dan Lu Bin didapati positif dehydrotestosterone sejenis dadah perangsang prestasi.

Akibatnya, China kehilangan 21 pingat emas namun masih mengekalkan kedudukan juara keseluruhan.

Bagaimanapun, insiden memalukan itu membuatkan China mengambil pendekatan serius untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Mereka me­ngenakan penggantungan antara enam hingga empat tahun terhadap atlet yang didapati bersalah, selain penggantungan seumur hidup bagi kesalahan serius.

Aihua dan Lu Bin dikenakan penggantungan dua tahun, manakala Han Qing yang merupakan pemenang pingat emas 400 meter lari berpagar digantung empat tahun daripada terlibat dengan semua pertandingan.

Atlet kanu, Zhang Lei dan Qiu Suoren pula digantung dua tahun dan atlet berbasikal wanita, Wang Yang dikenakan hukuman paling ringan iaitu enam bulan penggantungan.

“Paling penting kami perlu siasat bagaimana dadah ini berada dalam badan mereka, adakah secara sukarela atau secara tidak sengaja,” kata Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Olimpik China, He Huixian.

Tindakan itu menyaksikan China begitu memandang serius terhadap perbuatan yang mencemarkan reputasi mereka sebagai kuasa besar sukan di rantau Asia.

Pengarah Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), Cornel Marculescu menyuarakan kebimbangannya terhadap insiden itu kerana ia bakal menjejaskan imej negara dan sukan tersebut pada masa akan datang.

Skandal doping itu juga me­nimbulkan keraguan terhadap kecemerlangan atlet China, terutama pasukan renang wanita mereka yang berjaya merangkul 12 kejuaraan daripada 16 acara dalam Kejohanan Renang Dunia di Rom, kurang sebulan sebelum Sukan Asia Hiroshima berlangsung.