Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut sama membuat permohonan maaf kepada rakan sejawatnya dari Indonesia, Imam Nahrawi atas kesilapan yang berlaku itu dan menjelaskan perkara itu tidak disengajakan.

“Bapak Iman, saya setulus hati memohon maaf di atas apa yang berlaku. Sesungguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf,” katanya di akaun Twitter Menteri Belia dan Sukan Indonesia itu bagi menjawab persoalan pemimpin berkenaan.

Dalam upacara perasmian penuh gemilang malam tadi, bendera Indonesia dalam buku cenderamata itu dicetak secara terbalik dengan warna merah di bahagian bawah dan putih di atas.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengelola KL 2017 (Masoc) menerusi satu kenyataan turut melakukan permohonan maaf.

“Pengerusi, Khairy Jamaluddin akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Imam Nahrawi esok (hari ini) untuk sekali lagi memohon maaf bagi pihak Masoc.

“Kesilapan ini adalah amat dikesali dan kami percaya hubungan erat antara kedua-dua negara akan diperkukuhkan di bawah semangat Sukan SEA,” katanya. - UTUSAN ONLINE