Pengerusi ISN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata aplikasi baharu itu seiring dengan pengambilalihan Kafe Atlet, kini dikendalikan oleh ISN selaku peneraju sukan berprestasi tinggi.

Beliau berkata signifikan aplikasi tersebut adalah memberi panduan kepada atlet dalam pemilihan diet yang betul dan mendisiplinkan mereka dalam menguruskan pemakanan harian.

"Mereka boleh tahu berapa banyak pengambilan kalori, karbohidrat, protein yang diperlukan melalui aplikasi itu. Ia bukan aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar tetapi aplikasi dicipta khas untuk atlet.

"Aplikasi ini akan membantu memilih makanan yang bersesuaian dengan keadaan fizikal mereka terutamanya selepas atlet menjalani latihan," katanya kepada pemberita selepas majlis ISN bersama Persatuan Sukan Kebangsaan di sini hari ini.

Abdul Azim berkata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memutuskan Kafe Atlet yang sebelum ini di bawah pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) kini dikendalikan ISN.

Mengenai majlis tersebut, Abdul Azim berharap semua persatuan sukan akan lebih memahami peranan ISN di samping membina hubungan kerjasama erat bersama persatuan sukan dalam memartabatkan mutu sukan negara.

Semua wakil persatuan sukan yang hadir berpeluang melawat fasiliti sains sukan di ISN terutamanya kemudahan perkhidmatan pemulihan kecederaan atlet yang boleh digunakan atlet masing-masing.- BERNAMA