ISMAIL SANI

Beliau yang juga pesara tentera, menyediakan ‘senjata’ ampuh untuk ‘menyerang balas’ PSM berdasarkan Undang-undang Malaysia - Akta Pembangunan Sukan 1997 atau Akta 576 selepas badan induk itu tampak begitu ghairah dalam mencari dan mereka-reka kesalahan pihak lain yang cuba membantu memajukan sukan tradisi Melayu ini.

Pengadil berkenaan, Ismail Sani berkata, PSM sebagai badan sukan kebangsaan dengan jelas telah melanggar Jadual Ketiga, Seksyen 19 Akta Pembangunan Sukan 1997 apabila mengeluarkan Larangan Bertugas terhadap pengadil kejohanan itu ketika menarik balik perakuan, dua hari sebelumnya.

“Akta berkenaan adalah untuk menggalakkan dan memudahkan pembangunan dan pentadbiran sukan di Malaysia sedangkan saya mendapati PSM bukan memudahkan urusan, malah menyukarkan aktiviti pembangunan sepak takraw yang mahu dilakukan oleh pihak lain. Larangan itu juga hanya dikeluarkan dua hari sebelum kejohanan.

“Seksyen 19 akta itu di bawah Perkara 1 juga menyebut, badan sukan hendaklah mempunyai matlamat menggalakkan dan membangunkan sukannya dan mengekalkan hubungan baik dan kedudukan baik dengan semua badan pengelola.

“Menurut Perkara 2 pula, aktiviti (sukan berkenaan) dijalankan tanpa diskriminasi jantina, warna kulit, agama, asal-usul, bahasa, kecenderungan politik dan atau apa-apa pandangan lain yang dipegang anggotanya,” kata Ismail dalam surat jawapan tunjuk sebab yang telah dihantar kepada PSM, baru-baru ini.

Surat tunjuk sebab yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib yang juga Naib Presiden PSM, Senator Datuk Khairudin Samad menuntut pengadil-pengadil kejohanan itu, menjawab kenapa tindakan tatatertib tidak boleh diambil terhadap mereka dalam tempoh 21 hari mulai tarikhnya dikeluarkan, 12 November lalu.