Rupa-rupanya hoki dalam air yang juga dikenali sebagai Octopush mula bertapak di Malaysia sejak dua tahun lalu, tetapi, ia hanya bergerak di peringkat kelab iaitu di Pusat Sukan Petaling Jaya (PJ) Palms.

Individu yang bertanggungjawab membawa dan mempo­pularkan sukan itu ke Malaysia adalah jejaka yang berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pemetaan hartanah, Ishmael Fadullah Ho Wen Xiang.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu mula tertarik dengan sukan tersebut ketika menuntut dalam ijazah sarjana undang-undang di Universiti Aberrystwyth, Wales pada 2011 hingga 2012. Dia mengaku mula berminat selepas menyedari keunikan sukan itu.

“Saya mengagumi keunikannya kerana ia satu-satu sukan kompetitif yang bermain di bawah air dan memerlukan kita menahan nafas agak lama. Bukan kena pandai berenang sahaja.

“Ia sukan yang cukup tenang, tanpa suara atau jeritan, tanpa tekanan penonton, tanpa sorakan dan tanpa dapat melihat aksi pemain sekiranya tiada paparan rakaman televisyen di dalam air.

“Jadi selepas tamat belajar pada 2012, saya cuba kembangkannya di Malaysia sebagai satu sukan baharu. Saya mula mencari kelab atau organisasi untuk bermain sukan ini, namun, gagal kerana paling dekat yang saya jumpa adalah di Singapura. Saya terpaksa melupakan seketika hasrat mengembangkan sukan ini selama tiga tahun.

“Namun, pada 2016, peluang itu tiba-tiba kembali terbuka apabila ada pasukan hoki dalam air Singapura dan Filipina mengadakan hari terbuka untuk memperkenalkan sukan itu di Malaysia dengan bertemu perenang-perenang di Pusat Sukan PJ Palms,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur berdarah kacukan Cina dan Melayu itu.

Dari situ, impiannya untuk mempopularkan sukan tersebut kembali mekar dan terus bertindak sebagai pengasas kepada penubuhan kelab yang kekal sehingga ke hari ini serta berjaya mengumpul keahlian seramai 40 orang.

Sukan hoki dalam air sebenarnya sudah wujud sejak 1954 di England. Ia dimainkan di seluruh dunia dengan Persekutuan Aktiviti Dalam Air Dunia (CMAS) sebagai badan pengendali di peringkat global.

Kejohanan pertama diadakan di Kanada pada 1980 dan sukan itu dicipta Alan Blake, seorang penyelam skuba berasal dari Portsmouth, England.

Terus berkembang sehingga ke Australia dan New Zealand, hoki dalam air diperkenalkan di Singapura pada 2002, sekaligus menjadi negara pertama di Asia Tenggara mempopularkan sukan itu.

Kini terdapat beberapa negara lain yang mempunyai pasukan profesional antaranya Filipina, Indonesia, China dan Hong Kong yang menyertai Kejohanan Hoki Dalam Air Asia (AUHC).

Ishmael Ho berkata, hoki dalam air terdiri daripada pasukan lelaki dan wanita dengan setiap pasukan mempunyai 12 pemain. Namun, di peringkat antarabangsa, terdapat juga pertandingan berbentuk campuran lelaki dan perempuan.

Nama: Ishamel Fadullah 
Ho Wen Xiong

Sukan: Hoki dalam air/Octopush

Tarikh lahir: 3 Oktober 1988 (30 tahun)

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Profesion: CEO Ho Chin Soon Research Sdn Bhd

Adik Beradik: Anak kedua daripada tiga orang

Pendidikan: Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Aberrystwyth, Wales

Artis kegemaran: Lindsay Stirling (Pemain violin)

Pelakon kegemaran: 
Tom Hanks

Makanan kegemaran: Makanan pedas

Hobi: Sukan lasak seperti payung terjun, daki gunung

Posisi: Pemain merangkap jurulatih

Jawatan: Kapten Kelab Hoki Dalam Air Malaysia

Pencapaian terbaik: Mewakili universiti pada 2011/12

PROFIL