Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah, warga Kuwait yang mengetuai Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (ANOC) dan seorang anggota kanan IOC, memberitahu negara Teluk itu dikenakan hukuman itu oleh IOC.

Tindakan itu dilaksanakan selepas Kuwait gagal meminda undang-undang sukan yang dipertikaikan sehingga tarikh akhir yang ditetapkan oleh IOC kelmarin.

Dua minggu lalu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung persatuan bola sepak Kuwait kerana isu sama.

“Sebagai orang Kuwait, saya amat sedih. Kami semua terkejut. Ini satu kisah yang amat sedih. Ini (akibat) kesilapan manusia,” kata Sheikh Ahmad kelmarin.

IOC bimbang dengan campur tangan kerajaan dalam pengendalian Jawatankuasa Olimpik Kuwait dan persekutuan sukan kebangsaan.

IOC berkata, undang-undang sukan baharu mengancam autonomi badan sukan dan bakal ber­erti Kuwait tidak lagi mematuhi Pia­gam Olimpik.

Hukuman itu diputuskan ketika Sheikh Ahmad berada di sini untuk mempengerusikan perhimpunan agung ANOC minggu ini.

Dia tidak mendu­duki badan Olimpik Ku­wait dan tidak terli­bat secara langsung da­lam rundingan an­tara IOC dan Kuwait mengenai isu itu.

Katanya, Kuwait ia­lah satu daripada 206 jawatankuasa Olim­pik kebangsaan yang dijangka menghadiri mesyuarat ANOC pada hari esok dan Jumaat.

Dia berkata, perwa­kilan Kuwait akan dibenarkan untuk menunggu tetapi tidak mempunyai sebarang hak mengundi.

“Saya harap akan ada satu per­sefahaman segera,” kata Sheikh Ahmad, memberi amaran bahawa jika sebaliknya, “seluruh generasi atlet” akan menderita.

Jika penggantungan tidak dita­rik balik sebelum Olimpik tahun depan, atlet Kuwait akan dilarang daripada me­wa­kili negara mereka dalam temasya itu. IOC akan memberikan mereka kebenaran khas untuk bertanding sebagai individu di bawah bendera Olimpik.

“Saya akan berikan sokongan penuh untuk membawa mereka,” kata Sheikh Ahmad.

Kuwait pernah digantung oleh IOC pada 2010, juga berpunca daripada pertikaian berhubung campur tangan kerajaan.

Negara itu dimasukkan kembali pada 2012 menjelang temasya London selepas pemerintah Kuwait, Sheik Sabah Al Ahmad Al Sabah menjanjikan autonomi kepada jawatankuasa Olimpik dan undang-undang baharu bagi perjalanan badan sukan.

Sheikh Ahmad berkata, dia ti­dak faham mengapa Kuwait kini mengasaskan satu undang-undang yang membelakangi ikrar peme­rintah itu kepada IOC.

“Saya fikir itu berkaitan politik, kerana menteri sukan kalah dalam pemilihan kepada presiden me­nembak,” katanya.

Dalam tahun-tahun kebelaka­ngan, IOC turut menggantung ba­dan Olimpik kebangsaan seperti India, Ghana dan Panama kerana campur tangan politik tetapi kese­muanya dimasukkan kembali.

IOC baru-baru ini memberikan Sri Lanka tempoh hingga akhir tahun untuk menyemak undang-undang sukannya atau menghadapi penggantungan.

FIFA menggantung Kuwait selepas gagal mengubah undang-undang sukannya pada 15 Oktober.

Pasukan dan kelab Kuwait dilarang daripada pertandingan antarabangsa manakala persatuan dan anggotanya dilarang daripada menerima sebarang bantuan pembangunan daripada FIFA. – AP