Malaysia menutup tirai temasya dwi-tahunan itu dengan pungutan 145 emas, dengan pasukan luncur ais negara itu yang diketuai Wong De-Vin, Mohamad Ariff Rasydan, Hazim Shahrum dan Khairil Ridhwan Khalil melengkapkannya hari ini setelah mencatat masa terpantas 4 minit 31.438 saat dalam perlumbaan akhir di Empire City di sini.

Jelas De-Vin, dia dan rakan seperjuangan sangat bersemangat apabila Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberitahu mereka merupakan prospek terakhir untuk melengkapkan senarai pingat Malaysia dengan penuh bergaya.

“Kami telah melakukan yang terbaik dalam perlumbaan tadi dan laksanakan sama seperti dalam latihan 5,000m dan 3,000m sebelum ini. Saya sangat berpuas hati sebab kami hanya menjalani latihan dalam tempoh sebulan.

“Dalam perlawanan 15 pusingan tadi, jurulatih memberitahu bahawa pesaing kami hanyalah Singapura sebab Thailand dah terkeluar (gagal menamatkan saingan). Jadi dia meminta kami menikmati perlumbaan. Cuba elakkan perlanggaran agar mudah mendapatkan emas.

“Kami sedar acara kami adalah yang terakhir. Sebelum berlumba tadi pun, MSN dan MOM memaklumkan kami boleh menjadi penyumbang emas terakhir negara. Sebab itu kami bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya,” kata pelumba berusia 21 tahun itu.