Alderweireld beraksi 90 minit ketika Spurs menentang Newport, Rabu lalu iaitu penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan ketika menentang Real Madrid, 14 minggu lalu.

Pemain itu mengisytiharkan dirinya cergas untuk bertemu Arsenal dan mungkin menjadi pilihan pengurus, Mauricio Pochettino bagi mengekang Aubameyang, yang tiba di Emirates dari Borussia Dortmund, bulan lalu.

Alderweireld mempunyai pengalaman berdepan penyerang Gabon itu ketika Spurs menewaskan Dortmund 3-1 dalam Liga Europa, September lalu.

“Dia sangat pantas dan memiliki penyudah yang tajam. Dia ada segala-galanya sebagai seorang penyerang.

“Untuk mengalahkannya tidak mudah, anda kena berfikir dengan pantas, terutama dalam situasi satu lawan satu. Kena betul-betul bijak dan cepat membaca situasi,” kata Alderweireld.

Tottenham yang seri 2-2 dengan Liverpool dalam aksi terakhir liga, Isnin lalu hanya dipisahkan satu mata di belakang pasukan tangga keempat iaitu slot automatik ke Liga Juara-Juara, Chelsea.

Arsenal yang membenam Everton 5-1, Ahad lalu pula berada pada kedudukan keenam dengan empat mata di belakang Spurs.

Aubameyang yang meledak gol dalam penampilan sulungnya ketika menentang Everton dijangka terus mendapat kepercayaan pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Sementara itu, bekas bek Arsenal, Martin Keown berkata, Gunners perlu mengekang Harry Kane jika tidak mahu dihukum.

“Saya tidak fikir anda boleh mengekang Harry Kane tetapi anda kena beri perhatian khas kepadanya.

“Ia tidak mudah tetapi kalau Kane boleh dikawal peluang untuk menang baik,” kata Keown.

Kane menerajui senarai penjaring terbanyak liga ketika ini dengan 22 gol. – AGENSI