Mohamad Ridzuan yang dilihat bersemangat ketika awal saingan dilihat terganggu apabila terpaksa memulakan semula saingan acara akhir itu selepas false start dan akhirnya sekadar meraih pingat perak di Queen Elizabeth Olympic Park, hari ini.

Pemenang pingat emas kejohanan sama di Doha 2015, Mohamad Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Dek Wan menamatkan saingan akhir di London dengan catatan masa 12.15 saat manakala pemenang pingat emas menjadi milik atlet dari China, Yang Yifei dengan catatan 11.93s yang juga rekod baharu Asia.

Pingat gangsa menjadi milik Rodrigo Parreira da Silva dari Brazil dengan catatan masa 12.28s.

Ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, R. Jaganathan berkata, false start sewaktu permulaan acara akhir itu telah mengganggu momentum Mohamad Ridzuan sekali gus seakan menghalangnya untuk berlari lebih pantas.

“Dia menjadi tertekan kerana false start tersebut dan perkara itu mengganggu persiapan mentalnya namun tetap berupaya berlari pantas.

“Sebelum pertandingan bermula saya dapat lihat peluang Mohamad Ridzuan adalah 50-50.

“Selepas ini kejohanan terdekat yang bakal disertai oleh Mohamad Ridzuan adalah dalam Sukan Para Asean, diharap dia dapat bersinar dalam acara 100m, 200m serta 400m dalam masa sama saya juga gembira apabila kontinjen negara dapat menamatkan kempen kejohanan ini dengan dua pingat emas,” kata Jaganathan.

Malaysia menamatkan aksi dalam kejohanan tersebut dengan mengumpul dua pingat emas dan satu perak.

Untuk rekod, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih pingat emas pertama negara selepas mencatat rekod dunia baharu dengan jarak lontaran 17.29 meter dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) sebelum Abdul Latif Romly menyumbang emas kedua dengan rekod kejohanan baharu 7.37 meter dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).