Amir Suharman Adnan
Amir Suharman Adnan

Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) hari ini menggantung dua atlet berkenaan daripada menyertai sebarang kejohanan selama enam dan lapan bulan.

Pemangku Setiausaha Kehormat NAAM, Mejar (B) Amir Suharman Adnan berkata, Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu mengambil kira semua faktor sebelum membuat keputusan.

“Dalam hal ini, atlet terbabit telah mengambil dadah ber­kenaan tanpa sebarang niat. Surat rasmi berhubung hukuman yang dikenakan kepada atlet-atlet ini akan dihantar kepada MSN, Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) dan atlet berkenaan secepat mungkin.

“Atlet berkenaan mempunyai tempoh 10 hari ke satu bulan bagi membuat rayuan setelah menerima surat rasmi itu. Bagaimanapun, identiti atlet berkenaan masih tidak boleh didedahkan kerana menjaga privasi serta masa depan mereka,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggesa semua persatuan sukan menjatuhkan hukuman mengikut garis panduan yang ditetapkan Agensi Anti­-Doping Dunia (WADA) bagi mengelak berlakunya sebarang pertikaian pada masa hadapan.

Mengikut peraturan WADA, mana-mana a­tlet yang didapati bersalah dengan kes doping perlu berdepan penggantungan mandatori empat tahun.

Amir Suharman bagaimanapun menjelaskan, penggantu­ngan maksimum empat tahun itu hanya akan dikenakan jika seseorang atlet didapati mengambil dadah dengan niat, berbeza dengan situasi dua pemanah muda terbabit.

Menurutnya lagi, NAAM sentiasa berhubung rapat dengan Adamas dan persatuan memanah negeri bagi memberi penerangan kepada atlet berhubung penggunaan bahan terlarang.

“Dua wakil atlet dari negeri di mana mereka bernaung hadir hari ini bagi memberi laporan bertulis serta terlibat dalam sesi soal jawab dan kita dapati atlet terbabit tidak berniat terlibat dengan dadah.

“Antara faktor yang diambil kira sebelum membuat keputusan tadalah berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan pembabitan atlet itu,” katanya lagi.

Amir Suharman turut menambah, kini terpulang kepada pihak pengurusan Sukma sama ada mahu menarik balik atau tidak pingat yang dimenangi kedua-dua atlet tersebut.