Keputusan mengekalkan hukuman itu dimaklumkan oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) menerusi Setiausaha Kehormatnya Kamaruzaman Kadir selepas Jawatankuasa Rayuan badan induk itu dua kali bermesyuarat untuk membincangkan rayuan Sazali.

“Setelah bersidang dua kali dan meneliti segala bukti, mengambil kira segala fakta, penjelasan dan pendapat daripada beberapa pihak, Jawatankuasa Rayuan PBBM memutuskan bahawa hukuman seperti yang telah dikenakan terdahulu (empat tahun penggantungan) adalah dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Jawatankuasa Rayuan itu dipengerusikan oleh Naib Presiden PBBM, Datuk Wira Masood Zainal Abidin.

Pada 20 Januari lalu, jawatankuasa tersebut telah mengadakan sidang pertama untuk membincangkan rayuan atlet bina badan berusia 49 tahun itu, disusuli mesyuarat kedua pada 24 Mac lalu.

Terdahulu, Sazali digantung empat tahun oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) yang berkuat kuasa 22 September lalu selepas didapati positif dalam ujian doping di luar pertandingan pada 1 September, iaitu sebelum menyertai Kejohanan Asia 2015 di Tashkent, Uzbekistan.

Sazali kemudian mengemukakan rayuan untuk meringankan hukuman itu pada 8 Januari lalu.

Kelmarin, anak jati Batu Pahat, Johor itu yang digelar ‘Orang Besi Malaysia’ dilaporkan tidak menerima sebarang maklum balas daripada PBBM selepas dua minggu Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan surat sokongan kepadanya.

Sazali merupakan Mr. Universe sebanyak 10 kali, iaitu di Melaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012), Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014).