Selepas mengharungi lapan perlumbaan setakat hari ini, pasukan dari Australia yang dikemudi Ray Roberts itu terus mencengkam kedudukan teratas dengan mengutip tujuh mata penalti dan dilihat sukar untuk digugat oleh empat pencabarnya.

Pencabar terdekat dan penyandang juara dari Thailand, THA71 mengumpul 14 mata penalti diikuti tiga pasukan Malaysia, ‘SCS Janda Baik’ (25), ‘Zuhal’ (28) dan 29 mata penalti oleh ‘Uranus’ .

Roberts berkata, walaupun dilihat selesa di kedudukan pertama, pasukannya perlu mengekalkan momentum dan memberi saingan hebat kepada pasukan lain bagi dua perlumbaan terakhir.

“Kami yakin pada setiap perlumbaan namun tiada jaminan kerana pasukan Thailand dan pencabar lain masih berusaha untuk merapatkan jurang. Bagaimanapun, kami akan berusaha keras untuk memenangi baki dua perlumbaan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, peluang THA72 untuk mencapai kejayaan hatrik selepas dua tahun berturut-turut menjuarai kelas tersebut dilihat sukar apabila ketinggalan jauh daripada Hollywood.

Jurumudi pasukan itu, Kevin Whitcraft mengakui impian untuk merangkul kejuaraan hatrik tidak kesampaian apabila Hollywood menampilkan prestasi mengagumkan sejak hari pertama perlumbaan.

“Kami sukar bersaing dengan Hollywood dan gagal mencari kemenangan pertama tahun ini. Mereka memiliki bot baharu dan krunya cemerlang...mungkin tahun depan kami akan cuba sekali,” katanya.

Sebanyak 35 kapal layar dari Malaysia, Australia, Rusia, Jepun, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom bersaing dalam RLIR tahun ini, yang bermula 8 Jan lalu hingga esok.

RLIR 2019 yang dianjurkan RLYC akan berlangsung selama lima hari dengan tujuh kategori iaitu Kelas Racing, Kelas IRC 1, Kelas IRC 2, Kelas Sportboat, Kelas Cruising, Kelas Multihull dan Kelas White Sail. - BERNAMA