Kejayaan tersebut membolehkan wartawan meja sukan itu membawa pulang beg penjaga gol daripada pengeluar barangan hoki terkenal Obo tajaan Dita Malaysia.

Utusan Malaysia yang turut dibarisi Fadzil Zainol, Zazali Jamian, Azraie Yusof selaku kapten, Rozaidi Zulkifli, Metra Syahril, Roskhoirah Yahya dan Nazwin Nazri menamatkan persaingan di separuh akhir setelah tumpas kepada New Straits Times Press (NSTP).

Juara kejohanan edisi sulung itu menjadi milik NSTP yang membawa pulang trofi, pingat berserta wang tunai RM1,500.

Tempat kedua dimenangi Dunia Sukan yang menerima pingat serta wang tunai RM1,000, manakala Astro Arena meraih tempat ketiga selepas menewaskan Utusan Malaysia dalam penentuan tempat ketiga untuk menerima RM500.


Tonggak Dunia Sukan, Mus’ab Umair Mahadi dan Firdaus Hashim dari NSTP masing-masing memenangi kayu hoki jenama Dita tajaan Dita Malaysia selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik dan penjaring terbanyak kejohanan.

Sementara itu, penaja kejohanan itu Nona Roguy (NR) menerusi Ketua Pegawai Eksekutif MISB Resources, Syed Hidzir Tan Sri Datuk Syed Agil Barakbah berpuas hati dengan keseluruhan penganjuran kejohanan tersebut.

“Saya amat berpuas hati walaupun ini adalah kali pertama kejohanan hoki antara media dianjurkan. Saya berharap kejohanan ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Pihak kami sudi terus menaja kejohanan ini. Kami menyasarkan kejohanan akan datang lebih besar dan meriah dan mungkin boleh dianjurkan pada Julai atau Ogos tahun ini,” katanya.

Kejohanan anjuran Kelab Hoki Media (KHM) itu melibatkan sembilan pasukan terdiri pelbagai agensi media antaranya NSTP, Utusan Malaysia, Kosmo!, Dunia Sukan, Astro Arena, TV3, Bernama, Mediaprima dan wakil penaja NR.

Kejayaan menganjurkan Kejohanan Hoki Media 5s Heattone menyaksikan pihak penaja, NR yakin kejohanan seterusnya anjuran mereka iaitu Kejohanan Badminton Heatton juga akan berjalan lancar di Alor Setar, Kedah pada 3 Mac ini.- UTUSAN ONLINE