Kali terakhir Malaysia me­raih kemenangan ke atas Argentina adalah pada Sukan Olimpik 1992, di Barcelona.

Lebih membanggakan tujuh pukulan sudut penalti pasukan No.2 dunia itu berjaya digagalkan oleh skuad kebangsaan yang ketika ini menghuni ran­king ke-12 dunia.


Video Oleh ZAZALI JAMIAN
Bukan itu sahaja, Argentina juga gagal membolosi gawang negara ketika dihadiahkan satu pukulan penalti stroke.

Jurulatih skuad kebangsaan, Stephen Van Huizen berkata, semua pemain telah melaksanakan tugas dengan baik dalam aksi sukar menentang Argentina.

“Semua pemain wajar mendapat pujian, begitu juga penjaga gol negara, Hafizuddin Othman yang telah beraksi dengan amat baik pada malam ini ketika menghalang beberapa percubaan tepat Argentina.

“Kami meraih kemenangan hari ini menerusi gol padang tanpa perlu bergantung kepada pukulan sudut penalti dan ini sesuatu yang baik buat pasukan negara,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas tamat aksi menentang Argentina di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, hari ini

Dalam perlawanan tersebut Malaysia Tigers memulakan aksi dengan baik apabila berjaya membolosi kawasan D Argentina menerusi beberapa siri serangan balas pantas yang sukar dikekang pasukan No.2 dunia itu.

Dua jaringan awal skuad kebangsaan diperoleh hasil gol padang sewaktu suku pertama perlawanan menerusi penye­rang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-20 dan pemain tengah Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-28.

Sementara gol tunggal Argentina dijaringkan oleh Diego Paz pada minit ke-32 juga menerusi jaringan padang.

Secara keseluruhan dalam perlawanan tersebut dapat dilihat Argentina menguasai bola sebanyak 51.6 peratus berban­ding Malaysia 48.4 peratus namun pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 tetap gagal mendapatkan kemenangan ke atas tuan rumah.

Ini juga adalah kemenangan kedua Malaysia Tigers dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah 2018 selepas menewaskan Ireland pada Sabtu lalu.

Selepas ini Malaysia dijadual menentang India pada esok sebelum bertemu England pada Khamis ini.