Sebelum ini, misi utama skuad kebangsaan menghadapi kejohanan di Ipoh adalah untuk memperbaiki pencapaian tempat keempat pada 2016.

Kata Stephen, aksi di Ipoh wajar dijadikan pengajaran berguna buat skuad kebangsaan bagi memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi kejohanan penting Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London bulan depan.

Tambah jurulatih tersebut, pasukan hoki negara tidak boleh mengulangi kelemahan di Ipoh terutama dalam aksi permulaan kejohanan.

“Di sini kami sukar bermula dengan baik ketika aksi pusingan awal kejohanan yang menyebabkan pasukan tidak berjaya mendapatkan mata kemenangan dan di London sekiranya kelemahan tersebut diulangi semula, pasti mendatangkan bahaya buat kami kerana diundi bertemu pasukan hebat seperti Argentina.

“Selepas kejohanan ini, kami akan memberikan fokus sepenuhnya bagi menghadapi saingan di London kerana ia akan menjadi medan kelayakan untuk meraih tempat ke Piala Dunia 2018,” kata Stephen.

Malaysia menamatkan kempen Piala Sultan Azlan Shah 2017 selepas berjaya menewaskan Jepun 3-1 dalam aksi klasifikasi lima dan enam.

Malaysia Tigers yang ketika ini berada di ranking ke-14 dunia diundi dalam Kumpulan A Separuh Akhir Liga Hoki Dunia bersama pasukan No.1 dunia Argentina, Korea Selatan (ke-12), China (18) dan tuan rumah, England yang kini di kedudukan ketujuh dalam Ranking Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Saingan Kumpulan B pula menyaksikan Belanda selaku juara bertahan diundi bersama pasukan No.1 Asia India, Pakistan, Kanada dan Scotland dalam kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Tenis dan Hoki Lee Valley di London dari 15 hingga 25 Jun depan.

Malaysia layak beraksi di London selepas menjuarai Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, bulan lepas, dijadual memulakan kempen menentang Argentina pada 16 Jun sebelum berdepan tuan rumah England (17 Jun), Korea Selatan (19 Jun) dan bertemu China dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.