Kemenangan dengan jaringan besar UniKL di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi pada hari ini membolehkan pasukan itu mengumpul 16 mata sekali gus memintas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kelebihan satu mata selepas enam perlawanan.

Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, dia mengharapkan kemenangan dalam perlawanan tersebut namun tidak menjangka meraihnya dengan jaringan besar.

“Ini adalah pusingan pertama liga dan amat penting untuk kami menamatkannya di puncak.

“Apa yang positif daripada perlawanan ini ialah pemain saya beraksi dengan tenang malah struktur permainan kami semakin kemas dan ia menggembirakan saya,” kata Arul.

Dalam perlawanan tersebut lima gol UniKL dijaringkan oleh Muhammad Marhan Mohd. Jalil pada minit ke-11, Martin Peter Havenga pada minit ke-28 dan ke-39, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-52 dan Robert Kemperman pada minit ke-60.

Gol tunggal Maybank dijaringkan oleh Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-17.

Sementara itu, keputusan lain menyaksikan Nur Insafi seri 2-2 menentang TNB Thunderbolt di Stadium Tun Razak manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) tewas 3-5 ke atas Pasukan Hoki Terengganu (THT) di Stadium UiTM, Shah Alam. - UTUSAN ONLINE