Kemperman, 27 tahun atau lebih dikenali sebagai Mr. Backhand pernah disenarai sebagai antara pemain terbaik dunia pada 2015 berikutan kejayaannya membantu Belanda meraih tiga pingat perak dalam tiga pertandingan besar iaitu Sukan Olimpik 2012 di London, Piala Dunia 2014 di The Hague dan Trofi Juara-Juara 2012 di Melbourne.

Sander de Wijn pula adalah antara pemain pertahanan berkualiti dimiliki Belanda selain memiliki tahap kepantasan yang konsisten ketika di atas padang.

Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, pihak pasukan kini masih dalam proses rundingan untuk mendapatkan dua pemain tersebut yang telah menunjukkan minat beraksi dalam saingan liga di negara ini.

“Dua pemain tersebut amat berminat untuk bersama kami cuma masalahnya kami tidak boleh memberitahu mereka bila liga musim depan akan bermula kerana pihak Konfederasi Hoki Malaysia belum memberikan keputusan muktamad berhubung tarikh permulaan liga musim depan.

“Mereka sebagai pemain perlukan tarikh permulaan liga dan penamat kerana mahu menyusun jadual lebih awal tambahan pula Belanda akan bermain dalam kempen Liga Hoki Dunia tahun depan.

“Sekiranya dua pemain tersebut dapat bersama UniKL pasti mereka dapat memberikan impak positif buat pasukan,” kata Arul ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Selain dua pemain import dari Belanda itu, UniKL juga sedang berminat bagi mendapatkan penjaga gol skuad kebangsaan Ireland, David Harte.

Harte, 29 tahun adalah antara penjaga gol berpengalaman luas dan telah membuat 181 penampilan bersama pasukan kebangsaannya. - UTUSAN ONLINE