Pasukan wanita negara yang kali pertama beraksi di pentas antarabangsa pada 1962 masih belum menjuarai sebarang gelaran peringkat dunia dan tempat kedua kejohanan hari ini boleh dianggap pencapaian terbaik setakat ini.

Ketua jurulatih skuad negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, dia tetap gembira dengan pencapaian anak-anak buahnya yang telah mencapai sasaran ditetapkan iaitu melangkah ke perlawanan akhir kejohanan ini.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan ketika kami beraksi dalam perlawanan akhir ini kerana kami telah layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia pada Jun ini.

“Bagi saya apabila anda berjaya menewaskan pasukan pilihan Itali semalam, itu sudah membanggakan walaupun kami tewas kepada Ireland,” kata Muhammad Dhaarma.

Tiga gol Ireland dijaringkan oleh Anna O’Flanagan pada minit ketujuh, Kathryn Mullan pada minit ke-10 dan Zoe Wilson pada minit ke-35.

Malaysia berpeluang menjaringkan gol apabila mendapat pukulan penalti selepas jaringan O’Flanagan tetapi tolakan Nuraini Rashid tersasar jauh dari gawang.

Skuad Malaysia Tigress yang berada di ranking ke-21 dunia sebelum ini mengejutkan pasukan ranking ke-15 dunia, Itali apabila meraih kemenangan 2-1 menerusi pukulan penalti shoot-out selepas terikat 2-2 dalam separuh akhir semalam.

Kejayaan ke atas Itali sudah cukup untuk membolehkan Malaysia Tigress berbangga kerana ini bermakna mereka sudah pun menempati salah satu daripada dua slot automatik ke saingan kelayakan Piala Dunia 2018 menerusi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium atau Afrika Selatan pada Jun ini.

Mengikut format baharu kelayakan ke Piala Dunia yang diumumkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada 2015, sebanyak 16 pasukan akan bertanding dalam kejohanan di London itu berbanding 12 pasukan sebelum ini.

Peluang Malaysia untuk beraksi dalam Piala Dunia 2018 di London juga seakan cerah kerana 10 slot ditawarkan menerusi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia manakala selebihnya bagi pasukan yang menjuarai kejohanan peringkat benua masing-masing iaitu Asia, Eropah, Amerika, Oceania, Afrika selain tuan rumah Piala Dunia.

Sementara itu, Itali menum­paskan Wales 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4.