Tindakan India yang meleburkan rekod tanpa kalah empat perlawanan berturut-turut Malaysia itu menyebabkan peluang Korea Selatan dan Pakistan untuk mengiringi naib juara edisi lalu itu ke pentas akhir juga terbuka.

Skuad kebangsaan kini menghuni tangga kedua selepas mengumpul 3 mata, diikuti juara bertahan Korea Selatan (2 mata) dan Pakistan tercorot (1 mata), manakala India (4 mata).

Untuk rekod, Malaysia pernah menundukkan juara bertahan, Korea Selatan pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B, Sabtu lalu.

“Peluang kita masih ada untuk ke final, tapi kita perlu bangkit dan menang ke atas Korea Selatan. Mereka sudah pasti akan lawan bermati-matian sebab ini merupakan satu-satunya peluang mereka untuk ke Piala Dunia. Kita perlu bersedia untuk berdepan tugas getir esok,” kata jurulatih kebangsaan, Stephen van Huizen.

Dalam aksi tersebut, Malaysia dikejutkan dengan jaringan pembukaan pihak lawan, Akashdeep Singh menerusi gol padang pada minit ke-14 sebelum Harmanpreet Singh (pukulan sudut penalti) meletakkan India 0-2 lima minit berselang.

Tidak terhenti di situ, India melebarkan jurang kepada 5-0 hasil tambahan jaringan masing-maisng daripada Uthappa Sannuvanda menerusi gol padang pada minit ke-24, Gurjant Singh (gol padang m-33) dan Sunil Sowmarpet (gol padang m-40).

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada skuad kebangsaan yang gigih merapatkan kedudukan hasil jaringan pukulan sudut penalti Razie Rahim pada minit ke-50 sebelum Ramadan Rosli menyumbat gol padang sembilan minit kemudian.

Bagaimanapun beberapa saat kemudian Sardar Singh menjaringkan gol keenam India untuk menjadikan kedudukan 2-6 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.