Kemenangan tersebut membolehkan TNB mengumpul 13 mata selepas enam perlawanan manakala pencabar terdekat Pasukan Hoki Terengganu (THT) turun ke anak tangga kedua selepas sekadar seri 1-1 menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

THT kini hanya memiliki kelebihan satu mata ke atas pasukan di tempat ketiga Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang mengumpul 11 mata manakala UniKL di anak tangga keempat dengan sembilan mata.

Juara lima kali TNB tidak bermula dengan baik ketika menentang Maybank tetapi perlu menunggu hingga minit ke-20 untuk membolosi gawang lawan menerusi jaringan padang Muhammad Shahril Saabah.

Skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu hanya memerlukan tiga minit kemudian untuk menambah gol menerusi Shello Silverius yang membuatkan Maybank tertekan sehinggakan kerap melakukan kesilapan di bahagian pertahanan.

Kesilapan mereka membuka ruang untuk pasukan lawan menambah jaringan ketiga hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-34 menerusi Muhamad Aminudin Mohd. Zain

Maybank cuba bangkit menerusi jaringan pemain dari Australia, Allan Oscar William menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 tetapi Shello memastikan TNB terus selesa menerusi gol kedua peribadinya pada minit ke-48.

Wookey Oscar William kemudian menggunakan peluang pukulan sudut penalti pada minit ke-57 untuk mendapatkan gol kedua Maybank. – UTUSAN ONLINE