Kemenangan ke atas pasukan ‘adik’ mereka itu membolehkan TNB kekal dengan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan sekali gus mengumpul sembilan mata.

Jurulatih TNB, Nur Saiful Zaini Nasiruddin berkata, biarpun berjaya meraih kemenangan namun dia masih belum berpuas hati dengan aksi dipamerkan oleh anak buahnya dalam perlawanan tersebut.

“Saya lihat mereka tidak bermain seperti dua perlawanan sebelum ini dan mungkin disebabkan mereka sudah kerap bertemu sewaktu sesi latihan.

“Ini bukan alasan untuk pemain tidak mempamerkan permainan yang lebih mantap dan pujian juga wajar diberikan kepada pasukan lawan.

“Pasukan lawan mempunyai pertahanan yang cukup baik selain berjaya menyekat beberapa pukulan sudut penalti kami. Selepas ini pasukan harus mengekalkan prestasi bagi mendapatkan tiga mata penuh,” katanya selepas tamat perlawanan menentang TNB Thunderbolts di sini, hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, pemain kebangsaan, Norshafiq Sumantri meledak gol awal buat TNB pada minit ke-11 hasil jaringan padang sebelum TNB Thunderbolts menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Muhammad Hazzim Amin Hafidz ketika minit ke-19 juga melalui gol padang.

Kedudukan seri itu tidak bertahan lama apabila TNB mula mempamerkan corak menyerang yang terlalu sukar dihalang oleh lawan.

Tekanan yang diterima oleh TNB Thunderbolts membolehkan TNB menambah dua lagi jaringan menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-21 dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal sewaktu minit ke-60, kedua-duanya hasil pukulan sudut penalti.

Selepas ini TNB di jadual menentang THT pada Jumaat sebelum bertemu Maybank, Ahad ini.

ends///