Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasruddin berkata, strategi tersebut ternyata membuahkan hasil apabila Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan meletakkan pasukannya di depan seawal minit kelima setelah memanfaatkan pukulan sudut penalti, sekali gus meraih motivasi penting dalam aksi itu.

“Untuk meraih semangat tinggi dan motivasi penting ketika berdepan pasukan yang hebat, kami perlu berada di depan terlebih dahulu. Dengan strategi menyerang awal, nampaknya misi itu berjaya.

“Kami berada di depan sebanyak empat kali sebelum KLHC merapatkan kedudukan. Jadi, ia menunjukkan bahawa strategi ini berhasil. Cuma strategi ini sangat memenatkan. Jadi saya mahu anak-anak buah saya berehat secukupnya.

“Permainan seterusnya pada Rabu ini, jadi kami ada masa panjang. Kami boleh melihat semula video perlawanan tadi bagi mencari kekurangan untuk diperbaiki,” kata Nor Saiful sejurus tamat perlawanan itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini.

Ternyata kejutan awal tersebut telah menjadikan TNB lebih bersemangat dengan menambah tiga gol berturut-turut menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-10, Firhan Ashaari (minit ke-18) dan Muhammad Shahril Saabah (minit ke-48) masing-masing melalui jaringan padang.

KLHC yang ketinggalan 0-4 ketika cuba bangkit merapatkan kedudukan setelah pemain importnya, Jang Jonghyun dari Korea Selatan meledak dua gol hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-51 dan 60, namun tetap gagal untuk mengatasi kedudukan TNB.

Kemenangan tersebut membolehkan TNB, yang langsung tidak menggunakan khidmat pemain import, mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana dengan enam mata. Mereka bakal berdepan pasukan berstatus adiknya, TNB Thunderbolts pada Rabu ini di sini. - UTUSAN ONLINE