Sambil tegas menyatakan komitmen TNB untuk kekal menaja MHL bagi tempoh 2017-2021, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Abdul Rahman bagaimanapun berkata, pihaknya mahu melihat ada pe­ningkatan dalam jumlah penyer­taan pasukan tahun ini namun tidak tercapai.

“Sepatutnya kita dapat melihat ada peningkatan pasukan tahun ini tetapi nampaknya jumlahnya masih kekal enam pasukan. Saya tidak tahu hendak cakap macam mana dengan MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) mengenai perkara ini kerana nampaknya buat masa sekarang hanya pasukan bertaraf kelab sahaja menyertai MHL,” kata­nya ketika berucap dalam majlis penyerahan penajaan tahunan berjumlah RM4 juta kepada MHC selain memperkenalkan pemain-pemain pasukan utama TNB dan pasukan pelapis mereka TNB Thunderbolt di Kelab Kilat, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Roslan menyerahkan wang penajaan tersebut kepada Timbalan Presiden MHC, Prof. Madya Dr. S. Shamala.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada MHC supaya melihat dan mengkaji sekiranya perlu penyertaan MHL dibuka kepada pasukan-pasukan negeri selain hanya pasukan bertaraf kelab seperti sekarang.

“Sebagai penaja, kami ingin mencadangkan supaya MHC melihat penyertaan daripada pasukan-pasukan negeri yang berminat supaya pembangunan sukan hoki di negara ini terus rancak dalam melahirkan pemain hoki terbaik untuk negara.

“Sudah tiba masanya MHC melihat kepada pasukan-pasukan negeri kerana mereka inilah merupakan petak benih yang mampu melahirkan bakal pemain untuk negara. Di situ adalah tempat untuk mencungkil pemain berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” tegasnya.

Hanya enam daripada 10 pasukan mengesahkan untuk beraksi dalam kempen MHL 2018 yang bakal berlangsung 3 Januari hingga 10 Februari selepas kebanyakannya menarik diri pada saat akhir atas faktor kewangan.

Enam pasukan tersebut ialah penyandang juara liga iaitu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolt, Maybank dan Pasukan Hoki Terengganu (THT).

Empat pasukan yang menarik diri daripada Liga Perdana MHL musim ini ialah Nur Insafi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

MHL 2018 bermula dengan perebutan gelaran Piala Tan Sri P. Alagendra hari ini hingga 7 Januari diikuti perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Januari.

Sementara itu, Dr. Shamala berkata, pihaknya bersedia membincang dan mempertimbangkan saranan yang dibuat pihak TNB itu dan akan membawanya ke pengetahuan Pre­siden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Kami perlu memandang serius saranan agar penyertaan pasukan negeri ke dalam MHL dipertimbangkan kerana ini merupakan satu cadangan yang bagus. Mungkin kita boleh lakukan perubahan ini seawal-awalnya mulai tahun depan,” ujarnya.