Walaupun sudah mempunyai calon pilihan, Tengku Mahkota Pahang berkata, jawatan tersebut belum ditetapkan dan masih terbuka dalam hal ini menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) badan sukan berkenaan.

"Spekulasi yang mengatakan saya mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung jawatan tersebut adalah tidak benar.

"Dia (Tunku Ismail) bukanlah calon yang saya fikirkan dan jujurnya saya cakap, dia tidak langsung menyebut apa-apa pasal hoki," katanya pada majlis penyerahan tajaan Hoki Piala Sultan Johor, semalam.

Yang turut hadir ialah Tunku Ismail; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim.

Menurut Tengku Abdullah lagi, hasratnya untuk melepaskan jawatan semata-mata untuk memberi laluan kepada muka baharu memimpin MHC dan membawa perubahan serta peningkatan terhadap sukan itu.

Katanya, sudah banyak yang diusahakannya untuk memajukan sukan hoki, namun masa tidak mengizinkan kerana tanggungjawab lain semakin banyak.

"Peletakan jawatan ini tidak bukanlah disebabkan rasa marah atau tidak berpuas hati sebaliknya memang ada dalam perancangan saya. Saya harap semua harus menghormati keputusan ini," katanya.

Katanya lagi, peletakan jawatan tersebut bukanlah bermaksud akan meninggalkan sukan berkenaan, beliau akan tetap memerhati perkembangan hoki negara ini sekiranya terus dilantik sebagai Presiden Persekutuan Hoki Asia.

Ditanya mengenai harapan terhadap skuad hoki pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan hadapan, beliau berharap skuad hoki mampu mara ke peringkat akhir dan memenangi pingat emas.

"Ini merupakan sasaran utama kita pada tahun ini untuk memenangi pingat emas di Sukan Asia.

"Saya harap pemain bangkit dan buktikan keupayaan sebenar dan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pingat emas," katanya.

Mengulas mengenai kejohanan Hoki Piala Sultan Johor, Tengku Abdullah berkata, kejohanan itu memberi faedah yang besar buat pembangunan hoki di negara ini dan menjadi platform mencungkil bakat-bakat muda sukan berkenaan.