Ismail Zakaria

Tambahnya, dia telah banyak kali berurusan dengan pihak pengurusan membincangkan masalah ini selepas dua bulan gaji pemain tertunggak bermula sejak bulan Januari dan Februari.

Bagaimanapun bekas jurulatih Kuala Lumpur itu tetap memuji komitmen para pemainnya yang bersikap profesional apabila tetap menjalankan tanggungjawab sebagai pemain walaupun dihimpit masalah tersebut.

“Benar (terdapat tunggakan gaji) berlaku bermula bulan Januari dan Februari serta sedikit token yang patut diberikan pada bulan 12 yang masih belum dapat.

“Mungkin mereka akan keluar beramai-ramai dan saya tidak terkejut jika perkara itu berlaku sekiranya pihak pengurusan tidak menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Saya juga sudah banyak kali bercakap dengan pihak pengurusan mengenai isu ini.

“Saya juga akan berhubung dengan pihak FMLLP (Football Limited Liability Partnership) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) berkenaan kontrak baharu yang menyatakan pemain berhak meninggalkan pasukan sekiranya gaji tidak dibayar walaupun sebulan dalam masa sama kelab tersebut perlu membayar gaji mereka selama setahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, kesemua pemain dan pegawai pasukan masih belum menerima sebarang gaji sejak dua bulan lalu sekali gus mengulangi skrip pengurusan lama yang gagal melunaskan tunggakan gaji selama 11 bulan pada musim lalu berjumlah RM145,250.

Lebih perit pasukan itu, turut didenda oleh FMLLP sebanyak RM500,000 disebabkan kegagalan melengkapkan penyertaan Liga Malaysia (Liga-M).

Sementara itu, Ismail turut memuji sikap profesional yang ditunjukkan para pemainnya yang masih memberi komitmen yang baik kepada pasukan walaupun dilanda masalah besar seperti ini.

“Semalam semasa kita tewas 0-1 kepada Felda United, pemain tetap bermain dengan baik walaupun dilanda masalah tunggakan gaji dan saya memuji sikap mereka yang begitu profesional. Saya juga berharap pemain dapat terus bermain di samping mengambil tindakan untuk menuntut hak mereka.

“Tetapi pihak pengurusan juga perlu bertindak dengan cepat untuk menyelesaikan masalah ini. Jika tidak mungkin pemain akan hilang fokus dan mengambil tindakan meninggalkan pasukan sekali gus menyebabkan pasukan ini berkemungkinan besar di tutup,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE