Kata-kata Peillatkelihatan meninggi diri, namun penja­ring utama skuad juara Olimpik 2016 itu berhak untuk mendabik dada menjelang pertemuan de­ngan Malaysia Tigers esok di Stadium Hoki Azlan Shah berdasarkan jumlah gol yang dija­ringkannya dalam kejohanan besar sebelum ini.

Rekod Peillat cukup menggerunkan. Dia menjaringkan 10 gol untuk muncul penjaring terbanyak dalam Piala Dunia 2014 ketika membantu Argentina menang gangsa. Pencapaian terbaiknya adalah membantu negara­nya memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dengan dia sekali lagi muncul penjaring terbanyak dengan 11 gol.

Dan kini pemain berusia 25 tahun itu melaungkan amaran untuk menjadikan Malaysia mang­sa seterusnya dengan mencipta hatrik sekali lagi setelah melakukannya ketika membantu Los Leones menewaskan India dan Ireland pada Sabtu serta Ahad lepas untuk mengumpul enam gol setakat ini, kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti.

“Saya kenal beberapa pemain dalam pasukan Malaysia kerana pernah bersama mereka ketika menyertai THT (Pasukan Hoki Terengganu) dalam kempen Liga Hoki Malaysia baru-baru ini sekali gus sudah tahu apa kelebihan dan kelemahan mereka.

“Semua maklumat berkaitan pasukan Malaysia akan saya kongsi dengan pasukan kami bagi memastikan perlawanan pada Selasa ini memihak kepada Argentina.

“Dalam masa sama, jika saya dapat melakukan hatrik ketika menentang Malaysia maka itu sudah pasti sesuatu yang mengujakan buat saya,” katanya.

Dalam persaingan TNB-MHL 2018, Peillat yang beraksi di posisi pertahanan bersama THT muncul sebagai penjaring terbanyak de­ngan 16 gol.

Antara pemain skuad negara yang menjadi rakan sepasukan Peillat dalam THT ialah penye­rang Faizal Saari, pemain tengah Fitri Saari dan penjaga gol Hafizuddin Othman.