Pada 4 Januari lalu, UniKL tewas 3-0 ke atas TNB dalam saingan separuh akhir Piala Tan Sri P. Alagendra di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Kekalahan tersebut menyebabkan skuad UniKL terlepas peluang meraih gelaran pertama musim ini terutama selepas berbelanja besar mendapatkan pemain import berstatus bintang dunia.

Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, dalam perlawanan Jumaat ini, pasukannya akan memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selain menggunakan sepenuhnya kemahiran dimiliki pemain import mereka sekali gus tidak akan memberikan laluan mudah kepada TNB bagi mendapatkan mata.

“Saya berpendapat perlawanan menentang TNB kali ini akan menjadi satu saingan berlainan daripada aksi ketika Piala Tan Sri P. Alagendra.

“Saingan dijangka berlangsung seimbang kerana masing-masing mempunyai kelebihan namun saya tetap berpendapat TNB adalah pilihan utama kerana mempunyai 10 pemain kebangsaan manakala kami memiliki pemain import yang beraksi sewaktu Piala Dunia 2018 di India,” kata Arul.

Ketika ini UniKL berada di kedudukan ketiga liga dengan empat mata kurang dua mata daripada pendahulu, TNB selepas empat perlawanan berlangsung.

Kedudukan kedua liga kini dihuni Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang turut berkongsi mata dengan UniKL namun dibezakan dengan kelebihan jaringan.