Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu menyaksikan THT memulakan pesta gol seawal minit pertama menerusi pukulan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil yang kemudian menambah tiga lagi gol pada minit ke-17, 30 dan 56.

Tiga gol lagi dijaringkan pemain dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun pada minit ke-29, 33 dan 39 manakala Ismail Abu, Nicolas Enrique dan B. Namasivayam Nathan masing-masing menambah satu.

SSTMI pula memperoleh gol sagu hati pada minit ke-58 menerusi Mohamad Izuan Azhar.

THT kini menghuni tempat teratas selepas mengumpul 22 mata selepas lapan perlawanan.

UniKL pula merapati dua pa­sukan teratas liga THT dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) setelah berhempas pulas untuk menang 2-1 ke atas UiTM di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Sementara itu TNB mendahului dengan dua gol tetapi mensia-siakan kelebihan mereka untuk hanya mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Maybank dalam satu lagi perlawanan di Stadium Hoki Kuala Lumpur.